msen

07 Jun 2022 | Selasa – Hasrat pengurusan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan mewujudkan jalinan kerjasama industri bersama syarikat Wesmaltech Sdn Bhd adalah bertujuan untuk memanifestasikan dasar industri negara kearah pemerkasaan industri tempatan. Inisiatif ini juga tercetus susulan kunjungan pengurusan HRD Corp Cawangan Sabah ke ILP Sandakan pada bulan Mac 2022 yang lalu membawa mesej berhubung permintaan pihak industri di pantai timur Sabah khususnya sektor industri sawit memerlukan lebih banyak kursus atau latihan disediakan oleh institusi TVET yang menepati kehendak industri berkenaan agar manfaat dana latihan yang disediakan oleh kerajaan melalui HRD Corp dapat dimanfaatkan secara optimum.
Fokus utama kedua-dua pihak adalah mewujudkan latihan teknikal bersepadu yang mampu memberi impak kepada keperluan dan kesesuaian industri semasa berkonsepkan revolusi industri (IR4.0) iaitu penekanan kepada kursus keselamatan industri yang mematuhi piawaian antarabangsa dan pengendalian mesin atau jentera secara aplikasi pintar (IoT). Kedua-dua aspek ini merupakan tunjang kepada produktiviti serta menjadi ukuran pengamal industri masa kini dalam menentukan serta merancang “Standard Operating Procedure” (SOP) di bahagian/seksyen masing-masing bagi mencapai sasaran pencapaian syarikat. Transformasi industri global kini yang pantas, memerlukan institusi TVET dan pihak industri bekerjasama agar proses latihan sentiasa berjalan seiring dengan perubahan industri semasa melalui perkongsian pengetahuan, maklumat, kepakaran dan strategi pengurusan agar lebih kompetetif dan produktif.
Sehubungan dengan itu, pihak syarikat telah menjemput khas seorang pakar industri daripada semenanjung iaitu En. Mohd Azimie Ahmad (HSE Consultant) bagi membentangkan perancangan Kursus Persijilan IECEx dan pengenalan kepada peranti elektronik jenama “MiniGen” iaitu sebuah peranti pintar (integrated internet of things - IoT) keluaran produk tempatan yang telah melalui proses R&D dan bersedia untuk penggunaan di industri (SME). Objektif utama syarikat adalah berkongsi pengetahuan, kemahiran dan teknologi kepada tenaga pengajar ILP Sandakan bagi memastikan kelangsungan program ini disamping menjadi platform pengenalan atau promosi produk syarikat tempatan kepada industri khususnya syarikat SME tempatan.
Sesi pembentangan selama lebih dua jam itu dihadiri oleh Tuan Haji Mohd Raris Mohamed Yusof, Pengarah ILP Sandakan, En. Suhaidi Mustar (TPL), PP BKKL, PP CESS dan Ketua-ketua Bahagian (Teknologi Komputer Rangkaian, Teknologi Elektrik & Teknologi Telekomunikasi). Sementara itu di pihak syarikat pula di hadiri oleh En. Alias A. Bakar (Advisor Company), Pn. Salmah Laronda (CEO), En. Hanafi Halim (Branch Manager Pasir Gudang) dan pegawai teknikal Wesmaltech Sdn Bhd (Branch Pasir Gudang)
Harapan agar usaha kedua-dua pihak ini mampu mewujudkan kolaborasi industri yang berkesan supaya capaian pengamal industri tempatan terhadap keperluan latihan teknikal yang berstatus IR4.0 berjaya disalurkan secara sistematik untuk menghasilkan pulangan (outcome) yang bernilai kepada pembangunan ekonomi negara melalui sektor perindustrian.

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures