26 Jun 2022 | Ahad – Kesempatan berkunjung ke daerah Tawau atas kapasiti tugas rasmi iaitu melawat pelajar ADTEC Kemaman yang sedang menjalani Latihan Industri di SESB Tawau dimanfaatkan sepenuhnya dengan merangka pertemuan dengan syarikat Pemborong Jaya Workshop dan Restu Electrical Services Sdn Bhd. Kedua-dua pengarah syarikat mengalu-alukan kehadiran pihak ILP Sandakan bagi menjelaskan objektif pertemuan iaitu menjalin hubungan industri dengan memfokuskan perbincangan berkaitan kursus separuh masa yang ditawarkan institut, peluang latihan dan pengiktirafan (melalui persijilan program SLDN/PPT) pekerja industri, maklumat am berkaitan HRD Corp, peluang kerjaya serta penempatan pelajar Latihan Industri dan Latihan Sangkut (attachment) Pengajar di syarikat. Turut disentuh beberapa perkara berkaitan pindaan akta terkini (OSHA 2022) serta kaitannya dengan keperluan latihan kemahiran yang diiktiraf (certified) dalam bidang dan pengkhususan tertentu agar pihak industri bersedia menghadapinya apabila telah dikuatkuasakan sepenuhnya kelak.
Taklimat khusus juga disampaikan kepada pengarah syarikat Pemborong Jaya Workshop iaitu berkenaan garis panduan Penasihat Teknikal institut agar pihak yang bakal dilantik memahami peranan dan tanggungjawab sepanjang tempoh pelantikan sekiranya bersetuju. Secara dasarnya pihak syarikat berminat dengan tawaran tersebut serta komited untuk bekerjasama dengan institut demi kemajuan sektor industri di negeri Sabah.
Perjumpaan yang berlangsung selama sehari itu di lokasi berbeza sekitar daerah Tawau di wakili oleh En. Anzari Mohd Daud (PP CESS), manakala di pihak industri masing-masing diwakili oleh En. Shim Vui Min (Pengarah Pemborong Jaya Workshop) dan En. Sulaiman Pelu (Pengarah Restu Electrical Services Sdn Bhd).
Semoga pertemuan ini menjadi pemangkin kepada kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama dengan lebih serius lagi melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama agar perancangan strategi pemerkasaan latihan lebih bersistematik dan bersasar serta mencapai objektif utama kedua-dua pihak kearah pembangunan industri tempatan selari dengan senario era digital negara.