msen
3 Ogos 2022 | Rabu – Sukan amat berperanan besar dalam pembentukan jati diri seseorang seterusnya menjadi komponen penting menyatupadukan kelompok masyarakat. Contohnya, sukan bolasepak di negara ini telah terbukti berupaya menyatupadukan komuniti dalam skala besar tanpa mengira agama, bangsa dan status sosial. Perkara sama juga berlaku di insitut ini, melalui aktiviti sukan mampu membentuk jati diri serta melahirkan warga institut yang sihat fizikal dan mental sekaligus meningkatkan produktiviti dalam latihan kemahiran dan perkhidmatan.
Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan institut berbesar hati menerima kunjungan presiden Musketeers Football Association (MFA) beserta rombongan bagi membincangkan program pembangunan bola sepak akar umbi khusus untuk warga di daerah Sandakan. Rombongan diketuai oleh En. Hardy Pudar (presiden MFA) serta ditemani oleh dua orang jurulatih bola sepak dan futsal bertauliah iaitu Tn. Hj Rusli Hassan dan En. Arif Tumin. Di pihak institut pula diketuai oleh Tn. Hj Mohd Raris Mohamed Yusof (Pengarah) turut disertai oleh En. Suhaidi Mustar (TPL), En. Awang Yusof Awang Damit (TPO) dan Bahagian CESS (pegawai dan pelajar (UMS) praktikal).
Pembentangan oleh presiden MFA memfokuskan program pembangunan akar umbi bola sepak secara holistik, komprehensif dan professional. Bukan hanya kemahiran bola sepak semata-mata tetapi merangkumi pembangunan dalam aspek kesukanan, keilmuan, kekeluargaan, kemahiran & kerjaya dan kepimpinan & komuniti. Pihak MFA juga menyelitkan beberapa program profesional seperti kursus kejurulatihan dan pengadilan yang diiktiraf (mengikut tahap tertentu) disamping manganjurkan program motivasi khas dengan menjemput bintang bola sepak tempatan yang pernah mewarnai kancah bola sepak tempatan suatu ketika dahulu bertujuan memberi inspirasi kepada peserta akademi.
Program ini tidak membataskan kepada pembangunan akar umbi sahaja malah pelbagai aktiviti juga dirancang antaranya program pembangunan bola sepak belia (khusus untuk pelajar institut dan warga Sandakan) melalui program latihan bersama jurulatih bertauliah, pertandingan bola sepak mengikut kategori, perlawanan persahabatan bersama pihak MFA serta agensi kerajaan lain dan beberapa program yang berkaitan.
Objektif utama MFA adalah bagi melahirkan warga Sandakan yang cergas dan cerdas melalui penganjuran aktiviti sukan agar generasi muda tidak cenderung kepada aktiviti songsang serta tidak bermoral disamping mencungkil bakat baru daripada daerah ini untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi dalam arena bola sepak tempatan.
Pengarah institut optimis dengan perbincangan ini dan amat menyokong usaha MFA kearah pembangunan institut dan komuniti setempat melalui sukan bola sepak. Beliau juga selaku wakil pihak kerajaan mencadangkan kepada pihak MFA agar satu jalinan kerjasama dimeterai bagi merealisasikan hasrat murni kedua-dua pihak yang ingin melahirkan pemain bola sepak profesional daripada daerah Sandakan suatu masa nanti sekaligus menjadi salah satu model Keluarga Malaysia yang berjaya dengan konsepnya yang tersendiri.

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures