msen
17 Julai 2022 | Ahad – Cabaran remaja masa kini mendepani kepantasan arus teknologi global dalam menentukan hala tuju masa depan memerlukan bimbingan secara holistik dan komprehensif daripada semua pihak yang berkepentingan. Kesilapan dalam memilih haluan akan meranapkan masa depan tunas negara yang sedang mekar ini sekaligus menjadi barah yang akan membinasakan peradaban bangsa Malaysia serta merencatkan pembangunan negara. Aspirasi Keluarga Malaysia merupakan salah satu inti pati dalam perpaduan nasional yang efektif, acuannya juga sesuai dengan sosio ekonomi masyarakat tempatan yang menjalankan aktiviti pembangunan tanpa mengabaikan kepentingan modal insan. Antara nilai utama yang terdapat dalam aspirasi ini ialah menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga, menyuburkan budaya komunikasi berhemah dalam kalangan keluarga dan masyarakat serta membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.
Sehubungan dengan itu, Pertubuhan ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Sandakan dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian Sandakan telah menganjurkan program Karnival Lepasan Sekolah (KLS) bertujuan memberi panduan hala tuju kerjaya masa depan kepada remaja lepasan sekolah berdasarkan prinsip aspirasi yang telah digariskan oleh pimpinan tertinggi negara. Program KLS dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Jalil (Penolong Pegawai Pendidikan Daerah), turut disaksikan oleh Ustaz Muhammad Nur Selamit (YDP ISMA Sandakan) serta beberapa orang pegawai daripada ILP Sandakan, guru-guru sekolah, ahli-ahli ISMA dan beberapa orang pelajar ILP Sandakan. Manakala pesertanya pula terdiri daripada remaja lepasan sekolah (SPM & STPM). Pelbagai pengisian slot disajikan sepanjang program yang berlangsung selama sehari dan dihadiri lebih 60 orang itu antaranya Hala Tuju Selepas SPM, Penerokaan Bidang TVET, Pencerahan Masa Depan & Cabaran, Panduan Bantuan IPT, Ujian Psikometrik dan Forum Kerjaya.
Pegawai daripada Bahagian Pengurusan Pelajar & Latihan (BPPL), Cik. Norlydiawati Mohd Mustajab turut mengisi ruang slot ceramah mempromosi peluang latihan TVET di ILJTM khususnya ILP Sandakan. Penglibatan beberapa orang pegawai Bahagian Khidmat Komuniti & Sokongan Pekerjaan (CESS), pegawai teknikal (electrical & PA system) serta beberapa orang pelajar ILP Sandakan dalam program ini juga telah memberi impak positif kepada kejayaan penganjuran karnival ini. Jelas membuktikan kerjasama antara pegawai-pegawai kerajaan (institusi TVET & Pendidikan), institusi pendidikan swasta, pekerja sektor industri, usahawan, NGO dan pelajar dalam menggembleng tenaga dan buah fikiran telah berjaya menghasilkan program yang bermanfaat dan sarat dengan informasi khusus kepada remaja pasca sekolah menengah (post-secondary) di daerah ini.
Semoga karnival ini mampu menjadi platform dan pencetus kepada warga Sandakan untuk terus memartabatkan kepentingan menuntut ilmu dan merencana hala tuju masa depan yang lebih gemilang khususnya golongan remaja agar tidak terjebak dengan budaya negatif yang boleh memusnahkan harapan bangsa dan negara.

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures