msen

24 Ogos 2022 | Rabu – Belia merupakan aset berharga negara yang perlu dipelihara demi memastikan kesinambungan kemakmuran terus dikecapi anak bangsa Malaysia. Sehubungan dengan itu, pengurusan tertinggi ILJTM sentiasa merencana program dan menyokong sebarang usaha yang berpotensi mencorak jati diri dan disiplin anak muda generasi IR 4.0 ini.


Baru-baru ini, barisan pengurusan ILP Sandakan telah menerima tetamu daripada Angkatan Pertahanan Awam Daerah Sandakan yang diketuai oleh En. Abdullah Sabaruddin (Kapten Pertahanan Awam) serta ditemani dua anggota iaitu Cik. Siti Nur’hayu Alias (Leftenan Muda Pertahanan Awam) dan En. Irwan Nusu (Prebet Pertahanan Awam). Di pihak institut diketuai oleh Tuan Hj Mohd Raris Mohamed Yusof selaku Pengarah ILP Sandakan, diiringi oleh En. Suhaidi Mustar (TPL), En. Awang Yusof Awang Damit (TPO) serta beberapa orang pegawai daripada BPPA, BPPL, BKKL, CESS dan Pengurusan. Objektif utama kunjungan adalah bagi mengukuhkan lagi silaturrahim antara agensi kerajaan disamping menyampaikan informasi beberapa produk (perkhidmatan) APM Sandakan yang bersesuaian dengan keperluan warga institut khususnya pelajar.


Dalam perjumpaan yang berlangsung selama dua jam itu, pihak APM Sandakan telah memberikan taklimat ringkas berhubung perkhidmatan agensi selain menjelaskan peranannya melatih masyarakat dalam aspek keselamatan dan pertahanan awam melalui platform unit beruniform seperti Kadet Sekolah Pertahanan Awam, Pasukan Institusi Pertahanan Awam, Siswa Institusi Pertahanan Awam, Latihan Orang Awam dan lain-lain. Antara yang menjadi fokus pihak institut ialah program Pasukan Institut Pertahanan Awam (PISPA) yang dilihat amat sesuai diselaraskan dengan aktiviti pelajar di institut. Program latihan PISPA yang dilaksanakan selama 48 jam (asas) merangkumi modul latihan kepimpinan, pertolongan cemas, kawalan kebakaran, kawad dan pelbagai lagi. Pelbagai manfaat dan insentif diperolehi oleh pelajar jika berdaftar sebagai ahli APM bertujuan menarik minat menyertainya agar cenderung dengan aktiviti sihat dan bermanfaat selain menuntut ilmu kemahiran.


Secara dasarnya pihak pengurusan institut amat menyokong dan menggalakkan pelajar institut menyertai program APM ini sejajar dengan dasar pengurusan pelajar yang menekankan aspek pembangunan sahsiah dan disiplin melalui aktiviti ko-kurikulum. Penyelarasan program bersama APM Sandakan akan dilaksanakan secara berperingkat dan satu pasukan gerak kerja dikendalikan oleh BPPL akan dibentuk bagi menyusun strategi pelaksanaannya agar lebih efektif serta memenuhi piawaian badan pentauliahan JPK.

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures