2 September 2022 | Jumaat – Industri sawit yang tertumpu di pantai timur Sabah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini. Justeru, memberi manfaat kepada Institut Latihan Perindustrian Sandakan khususnya sebagai institusi TVET di pantai timur Sabah.
Baru-baru ini, En. Ng Yen Fu (Director East Malaysia Branch, GEA Westfalia Separator (Malaysia) Sdn Bhd) telah mempelawa ILP Sandakan berkunjung ke syarikatnya bagi membincangkan hala tuju kerjasama strategik yang boleh dijalin kearah memacu daya saing kedua-dua sektor ini dalam industri khususnya minyak sawit tempatan.
Dalam perbincangan itu, wakil syarikat memfokuskan bidang Teknologi Kimpalan kerana teras utama aktiviti kilangnya ialah membaiki dan menyelenggara komponen ‘separator’. ‘Separator’ adalah bekas yang digunakan untuk memisahkan kandungan air daripada minyak sawit yang diekstrak. Selain minyak sawit, syarikatnya juga menyelenggara ‘separator’ yang digunakan di kilang pemprosesan makanan khususnya makanan laut yang dikomersilkan seperti bebola ikan, kek ikan (fishcake) dan lain-lain.
Dalam aspek teknikal, komponen separator yang kebiasaannya perlu diselenggara ialah ‘spiral/screw/scroll conveyor’ akibat daripada kakisan yang disebabkan oleh bendasing seperti pasir dan sebagainya semasa mesin beroperasi. Justeru, jurukimpal diperlukan dalam kerja pembaikan atau penyelenggaraan ‘scroll conveyor’ tersebut.
Perbincangan hampir dua jam itu dihadiri oleh En. Anzari Mohd Daud (PP CESS), En. Syafiq Fadli Masbak (KB TKIM) dan En. Billy Anak Rejap (Pegawai CESS), manakala di pihak syarikat pula diketuai oleh En. Ng Yen Fu (Pengarah), seorang penyelia syarikat dan beberapa orang pekerja teknikal. Harapan agar kerjasama industri ini mampu memberi impak kepada pembangunan industri tempatan khususnya penyediaan tenaga mahir daripada ILP Sandakan kepada pihak industri.
"𝘽𝙚 𝙄𝙣𝙨𝙥𝙞𝙧𝙚𝙙, 𝘽𝙚 𝙀𝙭𝙩𝙧𝙖𝙤𝙧𝙙𝙞𝙣𝙖𝙧𝙮, 𝘽𝙚 𝙒𝙤𝙧𝙡𝙙 𝘾𝙡𝙖𝙨𝙨 𝙒𝙞𝙩𝙝 𝙏𝙑𝙀𝙏"