9 Oktober 2022 | Ahad – Penglibatan kontinjen Institut Latihan Perindustrian Sandakan dalam perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1444H / 2022M adalah bagi menatijahkan semangat kecintaan kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW.
Majlis sambutan yang telah dilancarkan oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin dan diiringi Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor serta barisan Menteri Kabinet negeri Sabah, menampilkan sebanyak 122 kontinjen daripada seluruh negeri Sabah terdiri daripada pelbagai kategori terlibat dalam perarakan tersebut.
Kontinjen institut diketuai oleh Tuan Hj Mohd Raris Mohamed Yusof (Pengarah ILP Sandakan) turut disertai seramai hampir 40 orang (pegawai/kakitangan dan pelajar) dengan menampilkan kostum pejuang islam masa silam dan pahlawan melayu selain beberapa orang pelajar mengenakan pakaian yang berimejkan pekerja industri menarik perhatian peserta lain dan pengunjung. Selama 14 hari diperlukan bagi mempersiapkan kontinjen institut dari aspek persiapan penyediaan sepanduk, kostum, latihan kompang dan alunan selawat.
Matlamat utama penyertaan institut adalah bagi meningati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW selain menghayati keperihan perjuangan baginda SAW dalam mengembangkan syiar islam hingga keseluruh dunia. Melalui perarakan ini juga semua umat islam dapat mengambil ibrah di atas mesej hijrah yang dibawakan oleh islam melalui Rasulullah SAW terbukti membawa kesan yang positif terhadap pembangunan sahsiah individu, masyarakat dan negara sekaligus menterjemah konsep pembangunan yang komprehensif mengikut acuan islam.
"𝘽𝙚 𝙄𝙣𝙨𝙥𝙞𝙧𝙚𝙙, 𝘽𝙚 𝙀𝙭𝙩𝙧𝙖𝙤𝙧𝙙𝙞𝙣𝙖𝙧𝙮, 𝘽𝙚 𝙒𝙤𝙧𝙡𝙙 𝘾𝙡𝙖𝙨𝙨 𝙒𝙞𝙩𝙝 𝙏𝙑𝙀𝙏"