msen
8 Oktober 2022 | Sabtu – Hasrat kedua-dua pihak iaitu Musketeers FA dan ILP Sandakan untuk menjalin kolaborasi pintar telah memulakan langkah awal apabila terlaksananya Majlis pelancaran Pembangunan Bola Sepak Komuniti ‘Ilmu on Pitch’ baru-baru ini. Beberapa sesi pertemuan dan perbincangan bermula 3 Ogos 2022 telah membuahkan hasil setelah program ini berjaya dilancarkan pada 8 Oktober 2022.
Seramai lebih 150 orang hadir memeriahkan majlis tersebut yang dirasmikan oleh YB Datuk Hj Suhaimi Haji Nasir, ADUN Sabah. Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut iaitu Tuan Hj Mohd Raris Mohamed Yusof (Pengarah ILP Sandakan), En. Hardy Pudar (Presiden Musketeers FA), pegawai dan kakitangan ILP Sandakan, AJK pelaksana majlis (ILP Sandakan & Musketeers FA), barisan penaja Musketeers FA, pemain-pemain bola jemputan kelab Sandakan, pilihan Musketeers FA, peserta akademi Musketeers FA bersama keluarga, warga ILP Sandakan dan komuniti setempat.
Selain pengisian majlis pelancaran yang disempurnakan oleh YB Datuk, majlis juga diserikan dengan perlawanan persahabatan bola sepak 3 penjuru antara pasukan pilihan ILP Sandakan, pasukan pilihan Musketeers dan pasukan jemputan kelab Sandakan. Program ini juga turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran personaliti bola sepak negeri Sabah (mantan pemain Sabah FA dan jurulatih Sabah FA) iaitu En. Jelius Ating yang juga turut dijemput menyertai pasukan pilihan Musketeers FA. Beberapa pameran juga dibuka di perkarangan astaka, khusus untuk barisan penaja dan rakan strategik Musketeers FA bertujuan memberi pendedahan kepada pengunjung berhubung peranan dan tanggungjawab mereka terhadap program pembangunan ini, bagi mewujudkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya penglibatan semua pihak dalam menjayakan suatu program pembangunan komuniti yang holistik.
Teras utama program ini ialah memfokuskan pembangunan bola sepak akar umbi dengan menerapkan elemen fundamental pembangunannya iaitu Kesukanan, Keilmuan, Kemahiran & Kerjaya, Kekeluargaan dan Komuniti. Peranan ketiga-tiga watak penting dalam program ini iaitu pemimpin masyarakat, peneraju institusi TVET dan pembimbing akademi adalah amat signifikan kearah merealisasikan kolaborasi pintar ini agar mampu mencorakkan lanskap masa depan generasi muda warga Sandakan dalam jangka waktu sederhana dan panjang. Pihak pengurusan ILP Sandakan juga amat optimis dengan program ini kerana melaluinya secara tidak langsung dapat memasyarakatkan institusi TVET agar ianya sentiasa relevan dengan komuniti seterusnya menjamin kesinambungannya dalam mendokong pembangunan industri setempat.
 
"𝘽𝙚 𝙄𝙣𝙨𝙥𝙞𝙧𝙚𝙙, 𝘽𝙚 𝙀𝙭𝙩𝙧𝙖𝙤𝙧𝙙𝙞𝙣𝙖𝙧𝙮, 𝘽𝙚 𝙒𝙤𝙧𝙡𝙙 𝘾𝙡𝙖𝙨𝙨 𝙒𝙞𝙩𝙝 𝙏𝙑𝙀𝙏"
 
 
 

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures