01 November 2022 | Selasa – Masjid Al-Biruni ILP Sandakan telah menganjurkan ceramah motivasi khusus kepada semua pelajar muslim di institut. Ceramah motivasi bertajuk “Cabaran dan Halatuju Remaja Islam Dalam Mendepani Era Digitalisasi” telah disampaikan oleh Encik Hadi Hidayah Hj Tutuh (Pengurus, Master Trainer & Motivator Al-Hidayah Training & Consultancy) merupakan penceramah jemputan daripada Kota Kinabalu dan berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan motivasi belia.
Fokus utama program ini adalah bagi memberi inspirasi kepada pelajar institut untuk terus berusaha menuntut ilmu kemahiran tanpa meminggirkan nilai-nilai islam agar tidak mudah hanyut dibawa gelombang modenisasi dan digitalisasi kini. Remaja juga harus bijak menggunakan teknologi (gajet pintar) khususnya di era digitalisasi ini untuk membangunkan diri khususnya dari aspek pengetahuan, kemahiran, ekonomi dan sahsiah agar pembangunan sosio ekonomi belia islam mampu cemerlang dengan seimbang. Kebijaksanaan pelajar dalam menggunakan gajet dalam kehidupan seharian amatlah penting melalui kawalan dan tapisan agar penggunaannya cenderung kepada perkara yang bermanfaat seperti untuk rujukan pembelajaran, berhubung dengan keluarga, pengajar dan rakan berbanding penggunaan yang mendatangkan mudarat seperti keterlaluan dalam permainan (online/offline game), berinteraksi di media sosial, melayan movie/video youtube yang keterlaluan dan lain-lain lagi. Dengan demikian persepsi negatif dan serong terhadap teknologi dan digitalisasi mampu dikikis kearah melahirkan generasi muda yang berpengetahuan serta jelas misi dan visinya sepanjang berada di institut ini dan setelah tamat pengajian kelak.
Semoga peranan institut dan jawatankuasa Masjid Al-Biruni dalam program ini mampu memberi impak dan kesedaran kepada golongan muda di institut ini agar memahami peranan dan tanggungjawab mereka terhadap cabaran digitalisasi global kearah pembangunan negara yang seimbang.