msen
21 Mac 2023 | Selasa | TAC Cetus Idea Pacu Kualiti TVET
 
Sejarah tercipta apabila julung kalinya pihak pengurusan Institut Latihan Perindustrian Sandakan berjaya menghimpunkan seramai tujuh orang mewakili kepakaran bidang utama (yang ditawarkan di institut) iaitu Teknologi Elektrik, Teknologi Penyejukbekuan & Penyamanan Udara, Teknologi Komputer Rangkaian, Teknologi Telekomunikasi, Teknologi Automotif, Teknologi Kimpalan dan Teknologi Fabrikasi Struktur Logam (Minyak & Gas).
 
Walaupun delegasi daripada industri ini menghadapi kekangan kesibukan tugas untuk menghadiri mesyuarat, namun komitmen yang tinggi serta keyakinan terhadap pengurusan ILJTM dalam mengetengahkan agenda pemerkasaan latihan TVET khususnya menangani isu-isu berbangkit berhubung keperluan industri setempat telah mendorong mereka untuk menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi menjayakan program ini.
Objektif utama penubuhan Jawatankuasa Penasihat Teknikal (TAC) adalah memberi pandangan dan nasihat kepada Jabatan dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian program TVET di ILJTM selain membincangkan dan memberi nasihat berkaitan pelaksanaan program latihan termasuk kandungan silibus dan peperiksaan.
 
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengerusi (pengarah institut) seterusnya taklimat pengenalan institut dan penerangan berkaitan Jawatankuasa Penasihat Teknikal (TAC) ILP Sandakan. Kemudian pada sesi berikutnya pengerusi menyerahkan kepada para wakil syarikat untuk bersidang bagi memilih Pengerusi TAC daripada kalangan mereka. Selepas beberapa minit berbincang, wakil-wakil TA sebulat suara melantik En. Mohd Yusof Yoda (Pengarah YY Empire Sdn Bhd) sebagai Pengerusi TAC institut bagi tahun 2023 – 2024.
 
Selepas pelantikan pengerusi TAC, sesi mesyuarat diteruskan bagi mendapatkan maklum balas dan informasi industri khususnya daripada wakil Penasihat Teknikal (TA) yang dilantik dengan memfokuskan hala tuju pembangunan latihan TVET di ILP Sandakan. Antara perkara yang diutarakan ialah berkaitan persaingan dengan institusi TVET lain, menaik taraf perakuan kekompetenan dan persijilan, penggunaan peralatan/aset terkini, pertandingan kemahiran (Worldskills Pengajar & Pelajar), program motivasi/jati diri pelajar, Latihan Industri & Latihan Sangkut Industri, Kursus Jangka Pendek, pengambilan pelajar dan kebolehkerjaan dan lain-lain perkara bersangkutan latihan TVET & industri.
Selesai perbincangan, para perwakilan diiringi oleh Ketua Bahagian masing-masing melawat ke bengkel untuk sesi seterusnya iaitu penerangan berkenaan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) pentauliahan JPK disamping menyaksikan secara langsung kaedah pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di institut.
 
Mesyuarat selama setengah hari itu telah dipengerusikan oleh Ts. Mohd Raris Mohamed Yusof (Pengarah ILP Sandakan) turut dihadiri En. Awang Yusof Awang Damit (TPO), semua Penolong Pengarah Bahagian (BPPA, BPPL, BKKL, CESS & BPSM) dan semua Ketua Bahagian bengkel (TE, TPPU, TELCOM, TKR, TKIM, TFSLOG & TAUTO). Manakala di pihak syarikat pula diketuai oleh En. Mohd Yusof Yoda (Pengarah YY Empire Sdn Bhd), En. Chang Vui Khong (Pengarah Sandakan Hung Kong Sdn Bhd), En. Liew Heng Chong (Pengurus Pusat Multimedia), En. Yong Kaoh Jie (Pengurus Terajasa Automobile Sdn Bhd), En. Wong Yuan Feng (Pengurus Syarikat Jenson Electrical Engineering), En. Ng Yen Fu (Director East Malaysia Branch GEA Westfalia Separator Malaysia Sdn Bhd) dan En. Lee Kok Seng (wakil Cash Horse (M) Sdn Bhd).
 
Harapan pihak pengurusan ILJTM agar penubuhan Jawatankuasa Penasihat Teknikal (TAC) ini mampu menjadi platform penglibatan industri untuk memberi pandangan dan cadangan penambahbaikan dalam pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Jabatan Tenaga Manusia agar sentiasa relevan dan seiring dengan perkembangan sektor industri.
 
"Be Inspired, Be Extra Ordinary, Be World Class With TVET"
 

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures