msen
25 Mac 2023 | Sabtu – Kepesatan industri di negeri Sabah membuka ruang kepada pemain industri dan institusi TVET berkolaborasi meneroka bidang baru bagi memenuhi keperluan industri semasa mencakupi sektor pembuatan, perkhidmatan, keselamatan, latihan dan sebagainya. Justeru, Syarikat Wesmaltech Sdn Bhd telah mempelawa ILP Sandakan untuk bekerjasama dalam melaksanakan kursus persijilan profesional International Electrotechnical Commission Explosive Atmosphere (IECEx) di negeri Sabah dengan mewujudkan dua buah bengkel IECEx iaitu di pantai barat Sabah (Wesmaltech Sdn. Bhd) dan di pantai timur Sabah (ILP Sandakan). Keyakinan syarikat berkolaborasi bersama institut adalah kerana komitmen tinggi pengurusan ILP Sandakan selaku institusi TVET yang sentiasa mendokong pembangunan latihan kemahiran di negeri ini kearah memperkasa pekerja mahir industri khususnya melalui platform Kursus Jangka Pendek.
 
Westmaltech Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada tahun 1996 oleh beberapa jurutera bertauliah dengan latar belakang kejuruteraan mekanikal dan elektrik yang berpengalaman dalam sektor industri di Malaysia dan syarikat asing seperti ABB Sweden, RUSSULA S.A Sepanyol, Maisodel S.L Sepanyol, Hotaka Engineering Jepun dan lain-lain. Juga menyediakan perkhidmatan membekal, memasang, menguji, menyelenggara dan mentauliah pepasangan elektrik serta memberi perkhidmatan kejuruteraan elektrik kuasa sehingga 132KV selain terlibat dengan kejuruteraan minyak dan gas.
 
Wesmaltech Sdn. Bhd juga merupakan syarikat berdaftar sebagai Majikan dan Penyedia Latihan (TP) HRD Corp yang melaksanakan latihan dan kursus berkaitan elektrik, elektronik dan mekanikal selain kursus berkaitan kejuruteraan minyak dan gas. Syarikat memiliki rangkaian luas di seluruh negara dan antarabangsa yang berupaya menyediakan tenaga pakar dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan teknologi. Pihak syarikat mendapat kerjasama daripada CTE Australia yang merupakan salah satu badan bertauliah diiktiraf antarabangsa melaksanakan latihan dan peperiksaan persijilan IECEx (Certificate of Profesional Competency (CoPC) for working in Hazardous Atmosphere). Jurulatih dan pengajar kompeten IECEx daripada pihak syarikat iaitu En. Mohd Azimie Bin Ahmad (HSE Consultant / Process Safety Specialist) bertanggungjawab mengendalikan kursus yang dijangka akan dilaksanakan di negeri ini dalam waktu terdekat.
 
Perbincangan selama lebih 3 jam di pejabat Wesmaltech Sdn Bhd Kota Kinabalu itu telah dipengerusikan oleh En. Alias Bakar (Penasihat Wesmaltech Sdn Bhd), turut dihadiri Pn. Salmah Laronda (CEO Wesmaltech Sdn. Bhd), En. Mohd Azimie Ahmad (HSE Consultant/Process Safety Specialist), En. Anzari Mohd Daud (PP CESS), En. Jaffar Umar (Staf Wesmaltech Sdn Bhd) dan En. Sabaruddin Saripuddin (IKM KK). Pihak syarikat menyarankan pengajar ILP Sandakan juga turut menyertai kursus ini agar suatu masa nanti pihak institut mampu mengendalikannya sendiri seterusnya menjadi sebahagian daripada peneraju kursus persijilan professional IECEx. Strategi plan jangka sederhana dan panjang ini dilihat mampu melonjakkan ILP Sandakan sebagai penyedia latihan bidang kejuruteraan minyak & gas serta industri minyak sawit bertumpu di pantai timur negeri Sabah.
 
"Be Inspired, Be Extra Ordinary, Be World Class With TVET"
 

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures